Wednesday 21 October 2015

Filled Under:

Pelari Terpantas Dunia Usain Bolt Mahu Selaju GTR

Bolt mahu selaju GTR

Usain Bolt (gambar) adalah pelari terpantas dunia dan dia dilihat bergambar bersama salah satu model kereta terpantas dunia.

Pemenang enam pingat emas Olimpik itu menyiarkan gambar dia bersama model terbaru kereta keluaran Nissan yang mungkin akan menjadi koleksi terbaru pelari itu - Nissan MY15 GTR.

GTR bernilai £80,000 (RM530,000) hadir dengan reka bentuk casis yang menarik dan boleh memacu kelajuan hingga 0-60mph dalam tempoh 2.9 saat.

Jelas sekali mesej yang cuba disampaikan oleh Bolt dalam gambar itu adalah ‘hanya laju mengenal laju.’

Bolt bukanlah asing dengan Nissan dan dia sebelum itu sudahpun memiliki versi emas kereta berkenaan.

Bolt akan berusia 29 tahun pada musim panas ini dan kariernya semakin menghampiri ke penghujung namun cita-citanya tidak menunjukkan dia akan meninggalkan lapangan olahraga.

Pelari dari Jamaica itu meletakkan sasaran Olimpik 2016 di Rio de Janeiro atau Kejohanan Dunia di London setahun selepas itu waktu yang sesuai untuk bersara namun sebelum itu dia mempunyai beberapa misi yang perlu dicapai sebelum itu.

Ketika ditemu bual oleh majalah Compton Herald awal bulan ini, Bolt mengesahkan dia menyasarkan untuk memecahkan rekod di bawah 19 saat dalam acara 200 meter dan perkara itu dilihat bukanlah sukar dicapai hanya perlu mencatat kurang 0.19 saat untuk melakarkan rekod baru itu.

Rekodnya kini adalah 19.19 saat bagi acara 200m yang dicatat pada 20 Ogos 2009, empat hari selepas dia mencipta rekod dunia 9.58s dalam 100m, kedua-duanya dilakarkan pada Kejohanan Olahraga Dunia di Berlin.

Katanya: “Saya benar-benar ingin berlari bawah 19 saat. Ia matlamat utama saya.

“Saya fikir ia salah satu yang paling sukar kerana untuk mencari hari yang tepat adalah sukar dan perlumbaan sempurna untuk mendapatkannya (rekod 200m).

“Ia bukan satu tugas mudah namun secara peribadi saya dapat berasakan mampu melakukannya dan jurulatih saya (Glen Mills) juga berasakan saya mampu melakukannya jadi sekarang ini hanya usaha dan mencari waktu yang tepat untuk melakukannya.”

Bolt kini sedang memburu status sebagai lelaki pertama memenangi tiga gelaran Olimpik berturut-turut dalam acara pecut dan acara berganti 4x100m.

Pada Kejohanan Dunia lalu Bolt menampilkan aksi terbaik dengan menafikan sebarang kebimbangan mengenai kecergasannya. Bintang Jamaica itu meraih tiga pingat emas iaitu acara 100m, 200m dan 4x100m berganti-ganti.

Sebelum kejohanan itu, Bolt dilihat sebagai ‘underdog’ berbanding Justin Gatlin yang mendahului ranking acara pecut dengan kemenangan dalam 27 acara, namun Bolt membuktikan siapa dirinya sebenar.

“Saya perlu lebih fokus berbanding kebiasaannya. Saya sedar ia satu kejohanan yang mencabar tapi saya datang dengan sasaran emas dan itulah yang saya lakukan,” katanya.

“Orang memandang rendah kemampuan saya musim ini. Kata mereka saya akan gagal.”





0 comments:

Post a Comment