Rumah Ala "Hobbit" Orang Melayu di Pasir Puteh Curi Tumpuan Ramai
PASIR PUTEH: Dari luar, dilihat ibarat rumah terbiar tapi, di dalamnya sebenarnya dijaga rapi.
Terletak di Pasir Puteh, Kelantan, rumah itu dihuni oleh sepasang suami isteri bersama empat orang anak mereka sejak 20 tahun lalu.
Amizar Adnan, 48 dan suami, Wan Mamat Wan Junoh, 52, tinggal di rumah ala-ala Hobbit tersebut dan membesarkan anak-anak mereka di dalam rumah yang menyerupai struktur rumah di dalam filem popular "The Hobbit".
Gambar rumah berkenaan telah menjadi viral di media sosial setelah ianya dimuat naik ke Facebook dan mendapat likes sehingga 58,000 ribu kali.
Melihatkan kepada komen orang ramai di media sosial, ramai yang mengkritik rumah tersebut dengan mengatakan tuannya pemalas dan ada juga yang mengeluarkan komen yang mencuit hati.
Namun, pasangan suami isteri yang mendiami rumah Hobbit tersebut mempunyai alasan mereka tersendiri mengapa membiarkan rumah mereka terus begitu.
Amizar, yang juga seorang peniaga berkata dia mendapat idea untuk menanam spesis pokok menjalar setelah rumah kayunya itu yang berusia lebih 70 tahun mula mereput dan dindingnya tanggal satu demi satu.
"Suami saya beberapa kali membaiki rumah yang telah usang ini tetapi tidak dapat bertahan lama sehingga satu hari suami saya memberi idea untuk menanam pokok teh (panggilan penduduk tempatan untuk pokok pagaran) dan menjalar bagi menyokong kekuatan struktur rumah ini.
"Walaupun idea itu agak luar biasa, saya mengikut sahaja kerana ketika itu rumah kami makin uzur," katanya memetik laporan Bernama.
Menurut Amizar, dia tidak menyangka idea dari suaminya itu berhasil dan lebih baik, rumahnya juga kini lebih sejuk dengan peredaran udara yang lebih lancar di dalam rumah.
"Pokok teh yang ditanam itu kini bukan hanya menjadi sokongan utama kepada rumah ini daripada roboh tetapi memberikan udara sejuk seakan penghawa dingin," katanya.
Menurut Amizar, dia sentiasa memperuntukkan masa selama sejam bagi membersihkan keseluruhan rumah.
Suami Amizar, Wan Mamat berkata dia akan terus mengekalkan keadaan rumah terseut.
"Mungkin saya akan betulkan struktur dalam rumah sahaja tetapi tidak akan mengubah keadaan asal rumah. Kami selesa tinggal dalam keadaan ini," katanya sambil menambah rumah itu sering kali menjadi tumpuan pasangan pengantin mengambil gambar dan pelancong asing.
Anak pasangan tersebut, Wan Mohd Hasanudin Wan Mamat, 25, berkata rakannya yang pertama kali datang ke rumahnya tidak akan percaya yang dia tinggal di rumah terbabit.
"Tetapi bila mereka memasuki rumah barulah mereka percaya kerana bahagian dalam rumah sama sahaja dengan rumah mereka.
"Bagi saya rumah inilah syurga bagi kami sekeluarga," katanya bangga.
Tuesday, 20 October 2015
Filled Under:
Rumah Ala "Hobbit" Orang Melayu di Pasir Puteh Curi Tumpuan Ramai
Posted By:
elias
on 21:49
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment