Monday, 26 October 2015

Filled Under:

10 Fakta Tentang Doktor Lelaki Di Bilik Bersalin Yang Ramai Tidak Tahu!!!

10 Fakta Tentang Doktor Lelaki Di Bilik Bersalin Yang Ramai Tidak Tahu!!!


Nota Editor: Artikel ini merupakan tulisan Dr. Ahmad Hidayat Hasni, doktor Perubatan dan didapati di laman RakanMedik.com ( LIKE page Facebook : RakanMedik untuk mengikuti artikel mereka). Kami kongsikan semula di sini dengan izin daripada penulis. Semoga ia dapat membantu anda untuk lebih memahami tugas- tugas yang perlu dilaksanakan oleh para doktor. 


10 realiti yang masyarakat perlu tahu tentang isu doktor lelaki di wad bersalin:

1) Subjek Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) merupakan subjek wajib dalam bidang Perubatan.

Bagi pelajar perubatan di seluruh dunia (bukan sahaja di Malaysia), bidang O&G adalah subjek besar yang wajib dipelajari. Ia memakan masa sebulan atau lebih, bergantung kepada universiti. Kenapa subjek ini wajib dipelajari?

Ini kerana bidang O&G adalah salah satu asas yang perlu dikuasai oleh seorang doktor. Mudah kata, jika doktor tidak menguasai bidang ini, dia tidak layak bergelar doktor. Bagi melengkapkan pelajar perubatan dengan ilmu ini, dia akan didedahkan dengan pelbagai rawatan dan pengurusan pesakit, antaranya termasuklah cara-cara memeriksa ibu mengandung, melihat atau mengendalikan wanita bersalin, melihat kaedah calitan Pap (Pap smear) pada serviks, melihat pembedahan “Caesarean section” dan lain-lain lagi. Jika dia tidak didedahkan dengan perkara-perkara ini, pengetahuannya akan terjejas kelak bila dia bergelar doktor.



2) Jabatan O&G adalah antara jabatan yang wajib untuk doktor baru lalui.

Doktor siswazah atau dikenali juga sebagai “house officer” adalah doktor perubatan yang baru menghabiskan pengajiannya.
Mereka diwajibkan oleh kementerian untuk bertugas dalam 6 bidang (posting) utama iaitu Perubatan (Internal Medicine), Kanak-kanak (Pediatrics), Pembedahan (Surgery), Ortopedik, Kecemasan/Anesthesiology dan termasuk antara yang enam ini adalah Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics and Gynecology/O&G).
Ketika inilah “house officer” akan dilatih untuk menguruskan pesakit, termasuklah antaranya mengetahui keadaan pesakit, membuat siasatan dan pemeriksaan lanjutan, serta memberikan rawatan.

Jadi, antara latihan yang perlu dijalani dalam bidang O&G ialah mengendalikan wanita bersalin, pemeriksaan kandungan, pemeriksaan faraj dan lain-lain.
Jika ditimbulkan cadangan bahawa tidak patut ada doktor lelaki dalam jabatan O&G, maka ke manakah kita mahu pindahkan doktor-doktor lelaki ini? Baiklah.
Jika kita kecualikan latihan O&G bagi doktor lelaki, bermaksud doktor lelaki hanya ada lima “posting”, pada saya itu lebih meringankan doktor lelaki. Namun tidakkah itu akan memberatkan doktor perempuan?

Bayangkan contohnya satu jabatan terdapat 40 pesakit, “house officer” yang bertugas adalah seramai lima orang – tiga lelaki dan dua perempuan. Jika lelaki itu dikeluarkan dari wad tersebut, maka tinggallah dua “house officer” perempuan. Nisbah “house officer” kepada pesakit yang asalnya adalah 1:8, kini sudah menjadi 1:20. Tidakkah membebankan tugasan doktor perempuan dan juga mengurangkan efisyen tugas? Dalam 40 orang pesakit itu, tidak semuanya normal, pasti ada yang perlu diberikan perhatian lebih, contohnya yang mempunyai penyakit darah tinggi, atau kencing manis, atau pendarahan dan lain-lain.
Itu semuanya adalah nilaian nyawa dan keselamatan pesakit. Belum campur tugasan di dewan bersalin, bilik bedah dan klinik lagi. Apakah mampu keseluruhan jabatan itu dikendalikan oleh dua atau tiga “house officer” perempuan tersebut?



3) Doktor yang tamat latihan housemanship perlu bersedia untuk menjadi doktor di hospital daerah dan klinik kesihatan, serta bersedia mengendalikan situasi kecemasan.

Di hospital daerah, tidak ada kepakaran untuk setiap jabatan. Doktor yang dulu merupakan house officer kini sudah menjadi pegawai perubatan. Merekalah yang akan menjadi doktor bertugas untuk bermacam-macam penyakit merangkumi pelbagai bidang sama ada kanak-kanak, pembedahan, trauma, kemalangan dan juga O&G.

Jika ada ibu-ibu yang akan bersalin, merekalah yang akan mengendalikannya. Di klinik kesihatan pula, kes-kes penyakit harian dan juga penyakit yang perlukan pemeriksaan berkala dijalankan. Termasuklah pemeriksaan kandungan (antenatal care).



Di hospital daerah itu tadi, jikalau bilangan doktor perempuan mencukupi, maka anda bolehlah membuat permintaan. Namun, hakikatnya tidaklah semudah itu.
Doktor tidak seramai seperti di hospital besar. Maka jika doktor itu lelaki, dialah yang akan menguruskan masalah anda termasuklah bersalin. Bayangkan jika doktor lelaki ini tidak mempunyai pengetahuan dan pendedahan yang cukup sewaktu menjadi pelajar perubatan, juga tidak mendapat latihan yang cukup ketika “house officer”, mampukah dia menjadi doktor yang berkemampuan untuk mengendalikan masalah bersalin anda? Tidakkah ianya merisikokan nyawa anda dan anak anda?

Kita juga maklum tentang situasi banjir yang mencemaskan terutamanya di pantai timur pada penghujung 2014 yang lepas. Beberapa orang doktor telah berkorban masa dan tenaga dalam mengendalikan pesakit yang mahu bersalin. Dalam keadaan cemas sebegitu, dengan jumlah doktor yang tidak mencukupi, bagaimanakah mereka mampu menghadapinya jika mereka tidak mendapat latihan yang secukupnya ketika housemanship?



4) Nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia masih belum mencukupi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysia masih belum mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi nisbah doktor kepada populasi masyarakat. Nisbah doktor kepada jumlah masyarakat Malaysia ialah 1: 791(statistik KKM 2013), sedangkan nisbah yang sepatutnya ialah 1:400. Jika dalam keadaan nisbah yang masih belum mencukupi ini kita mahu mengenakan had kepada doktor lelaki, nescaya pesakit tidak akan dapat dirawat dengan baik dan efisyen, malah mungkin boleh mengancam nyawa.

5) Jumlah doktor pakar O&G masih belum mencukupi.

Jumlah pakar O&G dalam sektor kerajaan juga masih belum mencukupi. Latihan yang perlu dilalui oleh seorang doktor untuk menjadi pakar juga bukanlah mudah, mereka perlu melalui latihan selama 4-5 tahun. Dalam usaha untuk membuat thesis dan mengulangkaji, mereka juga harus bertugas sebagai doktor untuk merawat dan bertugas “on-call”. Masa bersama keluarga tidaklah sebanyak orang yang berkerja waktu pejabat. Kerjaya sebagai pakar O&G juga berdepan dengan tindakan undang-undang.

Jika anda mempunyai isteri, adakah anda sanggup menjadi suami kepada seorang yang banyak masanya di hospital, kurang masanya dengan anak-anak berbanding ibu-ibu lain, di rumah pula mungkin dia sibuk untuk mengulangkaji?

6) Aurat pesakit lelaki dan wanita di jabatan lain turut tidak boleh diambil mudah.

Pesakit lelaki di hospital juga ada masanya perlu mendedahkan aurat kepada jururawat dan doktor wanita di hospital. Malahan, di jabatan lain seperti jabatan pembedahan juga, aurat pesakit wanita, malahan bahagian sulit mereka perlu didedahkan untuk tujuan rawatan. Jadi, jika kita ingin memberikan perhatian kepada wad bersalin sahaja dan mengerahkan seluruh tenaga kakitangan dan doktor wanita ke sana, bagaimana dengan pesakit wanita di jabatan lain? Tidakkah aurat mereka juga mempunyai nilai yang sama?



7) Dalam bilik bersalin, yang utama adalah nyawa pesakit.

Kematian ketika melahirkan anak pada zaman ini adalah sesuatu yang jarang berlaku berbanding pada zaman dahulu, dan jika berlaku, perhatian yang serius harus diberikan. Laporan di peringkat negeri perlu dibentang. Sebab itu, dalam bilik bersalin, dalam keadaan yang mencemaskan, tumpuan kakitangan kesihatan adalah untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Sangat mustahil untuk doktor lelaki sengaja pula mengambil kesempatan ke atas aurat pesakit yang terdedah, dalam keadaan sebegitu.

8) Kakitangan wanita wajib menemani pesakit ketika rawatan.

Dalam etika perubatan dan undang-undang, pesakit yang dirawat oleh jantina berlainan wajib ditemani oleh staf yang berjantina sama dengan pesakit. Misalnya, pesakit wanita yang dirawat oleh doktor lelaki wajib ditemani oleh staf wanita. Istilah ini dipanggil chaperone.

9) Pesakit ada hak untuk membuat permintaan kakitangan perempuan.

Dalam etika perubatan, pesakit juga ada sebahagian hak dan autonomi yang diberikan untuk membuat permintaan. Mereka ada hak untuk membuat permintaan agar dirawat oleh doktor wanita. Kakitangan kesihatan akan cuba menunaikan permintaan mereka. Namun, permintaan ini tidak akan dipenuhi setiap masa, kerana ianya bergantung kepada keperluan dan kekosongan. Jika pesakit mengalami keadaan kesihatan yang serius, manakala doktor wanita yang berada di situ mempunyai pengalaman yang kurang berbanding doktor lelaki, pastilah pihak hospital tidak akan merisikokan nyawa pesakit kepada orang yang kurang berpengalaman.

10) Hospital swasta mempunyai hadnya tersendiri.

Walaupun sesetengah hospital swasta boleh menunaikan permintaan pesakit untuk dirawat oleh kakitangan wanita, satu perkara yang anda perlu tahu ialah hospital swasta mempunyai fasiliti dan kepakaran yang terhad berbanding hospital besar.
Selalunya hospital besar mempunyai pakar dan staff yang lebih terlatih dan mempunyai kelengkapan kecemasan yang lebih lengkap seperti bank darah.
Jadi, risikonya adalah jika berlaku apa-apa kecemasan yang membahayakan nyawa, hospital swasta yang tidak mampu mengendalikan masalah tersebut selalunya akan memindahkan pesakit ke hospital kerajaan.

Perjalanan ke hospital kerajaan tersebut juga memakan masa, menambahkan lagi risiko kepada keselamatan isteri dan anak anda.

Semoga beberapa perkara ini dapat memberikan kefahaman yang lebih kepada masyarakat dalam isu berkaitan.

Untuk lebih banyak artikel-artikel berkenaan kesihatan, bolehlah merujuk laman Rakanmedik.com ataupun LIKE laman Facebook RakanMedik di SINI.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram



Sumber artikel dari thevocket








0 comments:

Post a Comment